Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LELAKI DIKHUATIRI LEMAS SELEPAS HANYUT DALAM ARUS DERAS DI SUNGAI BATU 9 CHERAS

DALAM NEGARA

LELAKI DIKHUATIRI LEMAS SELEPAS HANYUT DALAM ARUS DERAS DI SUNGAI BATU 9 CHERAS

Lelaki itu terdahulu dilihat berpaut pada ranting di tebing sungai sambil meminta pertolongan sebelum dihanyutkan arus deras dan hilang daripada pandangan.

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Pasukan penyelamat memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras di sebatang sungai di Kampung Sungai Raya, Batu 9 Cheras, Selangor, kira-kira 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata lelaki itu terdahulu dilihat berpaut pada ranting di tebing sungai sambil meminta pertolongan sebelum dihanyutkan arus deras dan hilang daripada pandangan.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan kejadian seorang lelaki yang tidak dikenali, dipercayai berusia lingkungan 40-an, dihanyutkan arus deras di sebatang sungai berhampiran dengan Lot 3250C,” katanya dalam kenyataan, tengah malam tadi.

Beliau berkata pasukan SAR berkenaan terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu polis bagi mengesan mangsa dengan menghubungi Sarjan Muhamad Faizal Arif menerusi talian 012-7812 843.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar dalam kenyataan malam tadi memaklumkan panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada 6.32 petang semalam sebelum pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussien Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.

“SAR dilakukan dua pasukan yang akan melakukan pencarian di kawasan tebing sungai anggaran sepanjang 5 kilometer. Pasukan bantuan dari BBP Kajang menjalankan pencarian di kawasan perangkap sampah Batu 10 Cheras,” katanya. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top