
SHAH ALAM: Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara enam individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 96.2 kilogram (kg) di Pangkalan Udara Subang, 17 November lalu.
Kesemua tertuduh terdiri daripada Amir Ariffudin Aminullah, 33, Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27, Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34, Tan Sui Seng, 48, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28, dan Afifah Amdas, 34.
Mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berkenaan pada malam kejadian di Pangkalan Udara Subang.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Prosiding di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazali Omar.
Empat tertuduh lelaki masing-masing diwakili peguam Arif Azmi, Muhammad Amin, Alif Ahmad Tarmizi dan Arif Rafin, manakala dua tertuduh wanita tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes. — AlHijrah Online.