Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PRN MELAKA: UNDI AWAL SELESAI, HAMPIR 95 PERATUS KELUAR MENGUNDI

DALAM NEGARA

PRN MELAKA: UNDI AWAL SELESAI, HAMPIR 95 PERATUS KELUAR MENGUNDI

Proses pengundian awal PRN Melaka ke-16 selesai selepas kesemua 31 pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang dengan 94.96 peratus pengundi awal secara fizikal telah menunaikan tanggungjawab.

MELAKA: Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berakhir hari ini selepas kesemua 31 pusat mengundi awal ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang.

Pusat mengundi yang mula dibuka seawal jam 8 pagi ditutup secara berperingkat bermula jam 12 tengah hari, 2 petang hingga 5 petang mengikut kawasan dan jumlah pemilih berdaftar yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengikut statistik SPR, sebanyak 12,531 pengundi awal terlibat dalam PRN kali ini terdiri daripada 9,769 anggota tentera bersama pasangan serta 2,762 anggota polis.

Daripada jumlah itu, 9,917 orang mengundi secara fizikal manakala 2,614 lagi melalui undi pos.

Berdasarkan peratusan keluar mengundi terkini yang dipaparkan di papan pemuka SPR, sebanyak 94.96 peratus atau 9,417 pengundi awal secara fizikal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Secara keseluruhan, 687,697 pengundi layak memilih wakil rakyat masing-masing pada PRN Melaka ke-16.

SPR menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian.

Pilihan raya kali ini menyaksikan Pakatan Harapan mempertaruhkan calon di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Barisan Nasional (23), Parti Bersama Malaysia (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (tujuh), Perikatan Nasional (lima), Parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan Bebas (tiga).

Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional memenangi 21 kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri manakala Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top