HULU SELANGOR: Lima daripada lapan individu yang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu di sini semalam, ditemukan lemas setakat 9.20 pagi ini, manakala usaha mengesan tiga lagi mangsa masih diteruskan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata mangsa pertama, seorang lelaki warga tempatan dikenali sebagai V. Vijayan, 36, ditemukan pada 1.30 pagi tadi di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi dia dihanyutkan di Lata Jebus.
Beliau berkata empat lagi mangsa ditemukan pada 9.20 pagi ini, di sekitar kawasan jambatan Senget, iaitu kira-kira satu kilometer dari Lata Jebus, namun identiti serta kewarganegaraan mereka belum dikenal pasti.
“Mayat mangsa pertama telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke unit forensik untuk proses pengecaman, manakala pasukan penyelamat sedang giat menjalankan usaha membawa keluar empat lagi mayat mangsa yang ditemukan pagi ini,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), hari ini.
Ashrul Riezal berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pada 7 pagi ini membabitkan empat sektor pencarian iaitu Sektor A dan B meliputi kawasan dari Lata Jebus sehingga sejauh kira-kira dua kilometer, manakala Sektor C dan D tertumpu di kawasan bawah jambatan serta empangan.
Beliau berkata operasi berdepan cabaran berikutan keadaan arus yang deras dan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam untuk surut sebelum pencarian di permukaan air dapat dijalankan.
“Operasi juga berdepan kekangan masa berikutan ramalan hujan pada sebelah petang susulan Monsun Timur Laut, justeru pasukan penyelamat berusaha memanfaatkan tempoh cuaca baik sehingga kira-kira 1 tengah hari ini bagi menjalankan kerja pencarian,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, lapan individu terdiri daripada seorang warga tempatan, seorang warga Yaman, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.
Selain itu, 26 individu daripada beberapa kumpulan yang melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian turut terkandas di sekitar kawasan sungai berkenaan sebelum berjaya diselamatkan pasukan penyelamat. — AlHijrah Online.