
SEREMBAN: Polis sedang menyiasat kejadian seorang kanak-kanak lelaki terjatuh di atas jalan raya selepas berpaut pada pintu belakang sebuah kereta seperti yang tular di media sosial, dipercayai berlaku di kawasan tol Nilai.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata pihaknya menerima laporan berhubung penularan video berdurasi kira-kira seminit berhubung kejadian itu pada 11.02 malam semalam.
“Rakaman diambil menerusi kamera papan pemuka kenderaan milik seorang wanita dan dia telah dihubungi bagi mendapatkan keterangan serta rakaman asal kejadian. Bagaimanapun, sehingga kini polis masih belum menerima sebarang maklum balas daripadanya.
“Berdasarkan kenyataan dimuat naik oleh wanita itu, waris kanak-kanak terbabit dipercayai berpatah balik dengan berjalan kaki mendapatkan kanak-kanak itu memandangkan lokasi kejadian terletak jauh dari kawasan pusingan U,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari berkata polis kini berusaha mendapatkan pengesahan berhubung maklumat tersebut termasuk merakam keterangan pemilik kamera papan pemuka serta mengesan waris dan kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-790 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran. — AlHijrah Online.