Connect with us

ALHIJRAH NEWS

DUA RENTUNG KERETA DINAIKI LIMA INDIVIDU TERBABAS DAN TERBAKAR

DALAM NEGARA

DUA RENTUNG KERETA DINAIKI LIMA INDIVIDU TERBABAS DAN TERBAKAR

Impak pelanggaran menyebabkan Mercedes Benz E250 dinaiki lima individu itu terbalik sebelum terbakar dan mengorbankan pemandu berusia 31 tahun dan penumpang hadapan berusia 20 tahun yang dipercayai rentung.

JOHOR BAHRU: Dua individu rentung manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki terbakar dalam kejadian kemalangan berhampiran Permas Jaya Golf Club, menghala ke Bakar Batu, awal pagi ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, PBK I Razali Hussein berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.35 pagi.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Mercedes dipercayai terbabas dan terbalik di tepi jalan sebelum terbakar sehingga 90 peratus.

“Lima mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan tiga daripadanya berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun melecur di bahagian kaki dan tangan, diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Razali berkata seorang lagi mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh orang awam, manakala seorang lagi mangsa selamat.

Beliau berkata dua mangsa ditemukan rentung di dalam kenderaan tersebut, bagaimanapun belum dapat dikenal pasti identitinya dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan dan tamat sepenuhnya pada 6.47 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Azrul Hisham Mohd Shaffei dalam kenyataan berkata kereta Mercedes Benz E250 dinaiki lima individu itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di KM 5, Jalan Pantai menghala ke Pasir Gudang.

Beliau berkata impak pelanggaran menyebabkan kereta itu terbalik sebelum terbakar dan mengorbankan pemandu berusia 31 tahun dan penumpang hadapan berusia 20 tahun yang dipercayai rentung.

Azrul Hisham berkata tiga penumpang lain yang terselamat mengalami kecederaan di kepala dan badan selain melecur di badan.

“Kelima-lima individu berkenaan merupakan rakan dan dalam perjalanan pulang daripada menyambut Deepavali.

“Kesemua mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik HSA bagi proses bedah siasat dan kes  disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top