
KUALA LUMPUR: Tiada sesiapa boleh dibiarkan merompak atau “menyakau” harta rakyat dan negara walaupun mempunyai jasa selama ratusan tahun, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, sikap berkompromi terhadap amalan rasuah semata-mata atas alasan jasa adalah bercanggah dengan ajaran Islam.
“Tolerance for evil inilah yang merosakkan kita. Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa tempat pelaku rasuah di penjara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut berkongsi petikan ucapannya pada Forum Ilmuwan MADANI Siri 14 mengenai bahaya budaya serba membiarkan atau permissiveness seperti yang pernah diungkapkan tokoh pemikir dan bekas pemimpin Indonesia, Mohammad Natsir.
“Saya selalu peringatkan apa yang pernah disebut pemimpin Indonesia, Muhammad Natsir sebagai budaya permissiveness. Semua okey. Rosak sikit, okey. Curi sikit, okey. Sikit berapa? Bilion, okey. Jadi, this tolerance for evil yang merosakkan kita,” tambahnya. — AlHijrah Online