
PASIR PUTEH: Seramai 12 warga asing dipercayai membayar antara RM1,500 hingga RM3,500 seorang kepada ejen untuk memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan di Sungai Tumpat, Ahad lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan ke Lembah Klang untuk bekerja sebagai buruh dan tukang cuci.
Kumpulan itu terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 41 tahun.
“Kesemua mereka disyaki memasuki atau berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada sidang media berkaitan kes tangkapan warga asing di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan, hari ini.
Menurut Kamal, tangkapan dibuat hasil operasi bersepadu menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris yang melibatkan aset bot Maritim serta Tim Operasi Darat.
Tim Operasi Darat 1 sebelum itu mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Kuala Tumpat sebelum bot berkenaan bergerak menyusuri Sungai Tumpat kira-kira jam 6.15 petang.
Bot itu dipercayai cuba menghampiri tebing sungai untuk menurunkan warga asing di kawasan Kampung Kelong kira-kira 15 minit kemudian.
Bagaimanapun, bot laju berkenaan gagal dikesan dan dipercayai melarikan diri menerusi laluan tidak diwartakan serta kawasan sungai cetek.
Operasi pencarian susulan membawa kepada penahanan dua kenderaan jenis Proton Satria dan Volkswagen bersama 12 warga asing berkenaan.
Dua pemandu yang disyaki warga tempatan pula berjaya melarikan diri.
Kesemua tahanan bersama kenderaan yang disita dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63. — AlHijrah Online