
Tanjong Malim: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Asa, Hulu Bernam diteruskan selepas mangsa masih belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, mangsa dikenali sebagai Nur Izzati Humaira Azizul, 18, dilaporkan terpisah daripada ahli keluarganya semasa menjalani aktiviti pendakian.
Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim kira-kira pukul 2.30 petang.
Siasatan awal mendapati Nur Izzati memulakan pendakian bersama enam ahli keluarganya pada pukul 8.40 pagi sebelum mereka berhenti berehat ketika menuruni bukit kira-kira pukul 10.50 pagi.
“Mangsa meminta kunci kereta dan beg galas daripada ibunya kerana mahu turun lebih awal. Dia memaklumkan berasa penat, tidak tahan cuaca panas dan mahu berehat di dalam kereta,” katanya dalam kepada media semalam.
Bagaimanapun, ibu mangsa yang tiba di kawasan parkir kira-kira pukul 11.35 pagi mendapati Nur Izzati tiada di lokasi berkenaan.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh berwarna coklat, baju hijau gelap berlengan panjang, seluar hitam serta kasut biru.
Ibrahim berkata, Pusat Kawalan Tempat Kejadian dibuka bagi menyelaras operasi SAR yang melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor serta Balai Polis Hulu Bernam.
Seramai 51 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sukarelawan terlibat dalam operasi berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6064 1222 atau Balai Polis Hulu Bernam di 05-459 6389 bagi membantu siasatan. — AlHijrah Online