Sebelum terbenam matahari 26 Ramadan 1446H — malam yang mungkin Lailatul Qadr — segalanya bermula.
Detik keramat ini menyaksikan permulaan kepada sebuah mercu baharu syiar Islam di jantung ibu kota. Di ambang malam paling agung dalam bulan penuh keberkatan, berlangsungnya Majlis Pecah Tanah Masjid Madani Jakel Mall, disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Masjid ini bukan sekadar pembinaan fizikal. Ia adalah cerminan cita-cita besar Malaysia Madani — menjadikan Islam sebagai paksi penyatuan, pusat ilmu dan wahana dakwah berwibawa. Bertempat di lokasi strategik Jakel Mall, Kuala Lumpur, masjid ini akan menjadi tempat bernaungnya ummah pelbagai latar, mazhab dan bangsa.
Lebih daripada itu, Masjid Madani ini terbuka kepada bukan Islam — sebagai ruang dialog, pengenalan dan penghormatan antara agama. Di sinilah nanti terbina jambatan kefahaman dan kasih sayang yang menjadi asas kepada sebuah negara berbilang kaum yang bersatu dalam nilai, bukan terpisah dalam prasangka.
Masjid Madani ialah simbol Islam yang memimpin, bukan meminggir; Islam yang membina, bukan memecah. Ia menjawab segala polemik dan keraguan dengan hikmah dan tindakan. Di tengah kesibukan kota, masjid ini akan menjadi mercu cahaya spiritual, intelektual dan perpaduan nasional.
Setinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada YAB Perdana Menteri (PMX) atas visi besar mengangkat Islam sebagai teras Malaysia Madani, Keluarga JAKEL, contoh wakaf korporat yang berani dan progresif, YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama agensi-agensi agama yang menjayakan projek ini dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan dan seluruh rakyat serta pihak berautoriti yang mendukung agenda pembangunan Islam secara inklusif, adil dan berteraskan rahmah.
Masjid Madani Jakel Mall ini bukan sekadar rumah ibadah — ia adalah rumah harapan, rumah ilmu, dan rumah perpaduan.
Artikel di atas ditulis oleh Ustaz (Dr.) Hj Bashir Mohamed Al-Azhari, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM.