
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 170 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg pelbagai jenama dalam serbuan Ops Tiris 4.0 di Kawasan Perindustrian Lahat, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu dilakukan hasil aduan orang awam ke atas sebuah bilik yang dipercayai dijadikan stor simpanan minyak masak peket bersubsidi.
“Semasa serbuan dibuat, sejumlah 170kg minyak masak peket 1kg pelbagai jenama, telah ditemukan di bilik tersebut.
“Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku sebagai penyewa premis kediaman tersebut memaklumkan bahawa minyak masak peket yang ditemukan itu bukan miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun yang menyewa bilik berkenaan ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran sah daripada pengawal bekalan berkaitan urusan barang kawalan.
Menurutnya, semua minyak masak peket yang dirampas bersama beberapa dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM425.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. — AlHijrah Online