
Sumber: Instagram @officialsultanibrahim
KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia telah berkenan mencemar duli ke Gathering The Sacred: The Gathering Light KL Conference 2026 yang menghimpunkan 10 sarjana dan tokoh kerohanian antarabangsa bagi membincangkan usaha penyembuhan, pemulihan dan pembaharuan rohani dalam menghadapi pelbagai krisis moden.
Persidangan sehari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu mengetengahkan tema “From Fragmentation to Whole: Healing the Self, Restoring the Sacred – Pathways to Human and Environmental Wellbeing”.
Program berkenaan menghimpunkan tokoh pemikiran dan kerohanian Islam terkemuka termasuk Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud, Habib Ali Zaenal Abidin, Shaykh Muhamed Al-Jilani, Shaykh Ahmed Saad, Shaykh Amin Kholwadia dan Shaykh Dr Walead Mosaad.
Pencetus Gathering Light KL Conference, Jumaatun Azmi berkata, persidangan itu diasaskan atas kesedaran bahawa banyak cabaran semasa sama ada di peringkat individu, masyarakat mahupun alam sekitar berpunca daripada keretakan hubungan manusia dengan nilai-nilai suci.
Menurut beliau, antara isu yang dibincangkan ialah kehilangan adab, pembinaan ketenangan jiwa dalam era yang penuh gangguan dan ketidaktentuan, pemeliharaan perpaduan masyarakat, serta implikasi etika dan kerohanian kecerdasan buatan (AI).
Antara pengisian utama persidangan ialah syarahan Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud mengenai isu kehilangan adab, perbincangan berkaitan identiti manusia dalam era kecerdasan manusia (AI) serta forum mengenai usaha memperkukuh kesatuan ummah.
Persidangan itu dianjurkan oleh KasehDia V dengan kerjasama Raja Zarith Sofiah Centre of Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS CASIS), Darul Qasim College USA, Ihsan Institute UK dan beberapa organisasi lain. — AlHijrah Online