
GAZA: Penduduk Palestin melahirkan kebimbangan kawasan yang masih boleh didiami di Gaza akan terus mengecil susulan rancangan Israel untuk memperluaskan penguasaannya sehingga meliputi 70 peratus wilayah berkenaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kebimbangan itu timbul selepas Perdana Menteri Negara Haram Israel, Benjamin Netanyahu mengakui pada Khamis bahawa tenteranya kini menguasai kira-kira 60 peratus Gaza dan merancang meningkatkan kawalan kepada 70 peratus.
Kawasan yang dikenali sebagai “garisan kuning” merujuk kepada sempadan yang memisahkan zon timur Gaza yang dikawal tentera Israel dengan kawasan barat yang masih boleh diakses penduduk Palestin.
Sejak 20 Oktober tahun lalu, Israel meletakkan blok konkrit berwarna kuning di sepanjang sempadan itu selepas pengunduran awal tenteranya dari beberapa kawasan di Gaza berikutan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata pada awal bulan berkenaan.
Di timur Khan Younis, penduduk mendakwa kehadiran kereta kebal, jentolak dan tembakan hampir setiap hari oleh tentera Israel menjadikan kehidupan mereka semakin sukar.
Seorang penduduk, Abdullah al-Astal, berkata orang ramai kini terperangkap dalam kawasan yang semakin sempit tanpa pilihan tempat tinggal lain.
“Tiada lagi tempat untuk kami pergi. Orang ramai sudah terperangkap dalam kawasan yang amat kecil,” katanya.
Menurutnya, kereta kebal Israel sering mengiringi jentolak yang merobohkan rumah berhampiran, manakala tembakan daripada kenderaan tentera dan dron berlaku hampir tanpa henti.
“Pada bila-bila masa kami boleh ditembak atau terbunuh,” katanya sambil memaklumkan beberapa penduduk di kawasan berhampiran turut cedera akibat tembakan tentera Israel.
Penduduk dan rakyat Palestin yang dipindahkan bimbang peluasan kawasan kawalan itu akan memaksa ratusan ribu orang awam tinggal dalam keadaan lebih sesak selepas berulang kali dipindahkan.
“Jika garis kuning ini terus diperluas, ke mana lagi orang ramai hendak pergi? Tiada lagi tempat yang selamat di Gaza,” katanya.
Ketika ini, ratusan ribu rakyat Palestin masih berlindung di penempatan sementara yang padat dengan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan kemudahan kesihatan.
Penduduk turut memberi amaran bahawa pengurangan kawasan penempatan awam akan mencetuskan gelombang perpindahan baharu selain menambah tekanan terhadap infrastruktur Gaza yang semakin lumpuh.
Minggu lalu, Hamas menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil pendirian tegas terhadap kenyataan Israel mengenai hasrat menguasai 70 peratus wilayah Gaza.
Menurut pihak berkuasa Palestin, serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan hampir 73,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 173,000 yang majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, Kementerian Kesihatan Gaza mendakwa serangan hampir setiap hari oleh tentera Israel masih menyebabkan 947 penduduk terbunuh dan 2,935 lagi cedera. — AlHijrah Online