
SEREMBAN: Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar, Putera Yang Empat Negeri Sembilan kini disahkan kosong selepas penyandangnya, Y.A.M. Tunku Dato’ Seri Nazaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, didakwa melepaskan gelaran tersebut susulan penerimaan gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dianggap tidak sah.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Azizi Mohamad Ali, hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, majlis yang didakwa sebagai “Istiadat Pemasyhuran” Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun adalah tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang serta adat istiadat Negeri Sembilan.
Kenyataan itu sekali gus menjelaskan bahawa pada masa ini tiada individu yang menyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan.
Pada 5 Jun, Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka memasyhurkan Tunku Nazaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Majlis pemasyhuran tersebut bagaimanapun terpaksa diadakan di sebuah hotel di Melaka dengan kehadiran anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU) iaitu Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan Tuanku Besar Tampin, Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri. — AlHijrah Online