Connect with us

ALHIJRAH NEWS

JASLINDA JANJI PERJELAS SPEKULASI SELEPAS PULIH

DALAM NEGARA

JASLINDA JANJI PERJELAS SPEKULASI SELEPAS PULIH

Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, berjanji akan menjawab segala dakwaan dan spekulasi yang timbul sepanjang kehilangannya

TAPAH: Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, berjanji akan menjawab segala dakwaan dan spekulasi yang timbul sepanjang kehilangannya

Jaslinda berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu selepas berehat dan kesihatannya kembali pulih.

“Kenyataan media kemudian nanti saya bagi tahu. Yang benda-benda tu semua yang dengar tu fitnah dan tidak betul, nanti saya bagi kenyataan,” katanya.

Jaslinda, 49, dibenarkan pulang dari Hospital Tapah hari ini selepas menerima rawatan selama tiga hari, meninggalkan hospital kira-kira jam 1.50 tengah hari dengan bantuan tongkat dan kaki kirinya masih berbalut sebelum pulang ke Kuala Lumpur menaiki kereta yang dipandu suaminya, Haszman Othman.

Ketika ditemui media, beliau melahirkan rasa syukur kerana keadaan kesihatannya semakin baik serta berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatannya sepanjang operasi mencari dan menyelamat.

“Alhamdulillah, saya sihat. Terima kasih banyak. Terima kasih semua atas titipan doa buat saya dan saya sangat-sangat menghargainya.

“Saya juga nak memohon maaf kepada semua kerana telah menyusahkan banyak pihak sepanjang insiden ini, minta maaf dan terima kasih semua,” katanya.

Sementara itu, Haszman, 61, berkata insiden yang menimpa isterinya perlu dijadikan pengajaran kepada penganjur aktiviti pendakian untuk memperketat aspek keselamatan peserta.

“Syarat perlu diperketat, mungkin had umur bawah 45 tahun dan perlu ada laporan kesihatan sebelum dibenarkan menyertai aktiviti, jika tidak, ia boleh menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata minat Jaslinda terhadap aktiviti mendaki masih tidak berubah meskipun berdepan pengalaman mencemaskan selepas tersesat di hutan selama hampir dua minggu.

Sabtu lalu, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira jam 5 petang oleh seorang penduduk kampung selepas dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei.

Beliau menyertai ekspedisi itu bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading