
Sumber: BERNAMA
KOTA BHARU: Simpanan tunai RM20,000 yang dikumpul sedikit demi sedikit selama lebih sedekad lenyap dalam sekelip mata, apabila rumah didiami sebuah keluarga di Kampung Gok Kapur, di sini, musnah dalam kebakaran yang melanda penempatan itu semalam.
Lebih menyayat hati, wang yang disimpan sebagai bekalan masa depan keluarga berkenaan hangus bersama kediaman mereka, menyebabkan pasangan suami isteri itu kini bukan sahaja kehilangan tempat berteduh, malah terpaksa memulakan kehidupan dari awal.
Mohd Khairul Azwan Annuar, 34, berkata ketika kejadian beliau yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat pemasangan kanopi sedang bertugas di Bachok sebelum menerima panggilan daripada isterinya Siti Saidah Mohd Kamsi, 33, yang memaklumkan rumah mereka terbakar.
“Sebaik menerima panggilan itu, saya terus bergegas pulang, namun apabila tiba rumah sudah hangus sepenuhnya. Isteri saya hanya sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting.
“Wang tunai RM20,000 yang kami kumpulkan sedikit demi sedikit sejak lebih 10 tahun lalu turut musnah dalam kebakaran itu,” katanya kepada media di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata wang berkenaan disimpan di rumah, kerana lebih mudah digunakan apabila diperlukan tanpa perlu mengeluarkannya daripada bank.
Bapa kepada tiga anak itu berkata kebakaran berkenaan turut memusnahkan sebuah rumah yang dijadikan kedai runcit milik isterinya, selain sebuah rumah yang didiami bapa saudaranya Mat Jusoh, 83, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal.
“Saya masih buntu memikirkan nasib keluarga selepas kehilangan rumah yang kami diami lebih 30 tahun. Buat masa ini, saya, isteri dan tiga anak terpaksa menumpang di Masjid Banggol sementara memikirkan langkah seterusnya.
“Saya berharap ada pihak dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami sekeluarga serta mangsa-mangsa lain yang kehilangan hampir segala-galanya dalam kejadian ini,” katanya.
Semalam, sebanyak 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapor dan punca sebenar kebakaran sedang dalam siasatan pasukan forensik bomba. — AlHijrah Online