
Foto: AFP
MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) buat sementara waktu melarang kemasukan warga asing yang pernah berada di Republik Demokratik Congo (DRC), Uganda atau Sudan Selatan dalam tempoh 21 hari sebelum ketibaan ke negara itu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Sekatan itu berkuat kuasa selama 30 hari dan selepas tempoh berkenaan CDC akan memutuskan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkannya. Warganegara AS dan pemegang kad hijau dibenarkan memasuki negara itu, namun mereka tidak dikecualikan daripada saringan kesihatan lebih ketat, menurut kenyataan itu.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS, mereka perlu memasuki negara itu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles (IAD).
Minggu lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola di DRC dan Uganda sebagai kecemasan kesihatan awam serta ancaman kepada negara lain. Menurut data terkini pihak berkuasa Congo, sebanyak 131 kematian akibat virus itu telah direkodkan di negara berkenaan. Wabak Ebola sebelum ini di DRC berakhir pada Oktober 2025. –BERNAMA