
SHAH ALAM: Seorang lelaki yang tular kerana mengurung dan mencederakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning di sini minggu lalu, dihukum penjara selama 15 bulan.
Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, yang bekerja sebagai pemungut hutang dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Bagi kesalahan mengurung mangsa, duda yang mempunyai seorang anak itu dihukum penjara sembilan bulan bermula hari ini, sementara bagi kes mencederakan remaja sama, dia dihukum penjara enam bulan selepas selesai menjalani hukuman bagi kesalahan mengurung tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengurung mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan. Mangsa dilapor diikat tangan dan kaki di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32, antara jam 8.05 sehingga 11.50 pagi pada 11 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Siasatan awal polis mendapati, suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sambil menawarkan satu pakej internet telefon bimbit dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang di rumah suspek.
Suspek juga mempunyai rekod keluar penjara pada April tahun lalu.—Alhijrah Online