Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SYRIA SERTAI INISIATIF GLOBAL PERKUKUH KOMITMEN UNDANG-UNDANG KEMANUSIAAN ANTARABANGSA

DUNIA

SYRIA SERTAI INISIATIF GLOBAL PERKUKUH KOMITMEN UNDANG-UNDANG KEMANUSIAAN ANTARABANGSA

Isu hak asasi manusia sekian lama menjadi antara perkara paling dipersoalkan dalam hubungan antarabangsa Syria apabila badan PBB dan pertubuhan hak asasi sebelum ini berulang kali menuduh rejim terdahulu melakukan penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan sistematik serta kehilangan secara paksa.

ISTANBUL: Syria menyertai satu inisiatif global bagi memperkukuh komitmen politik terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran baharunya memperluas kerjasama dan libat urus dengan masyarakat antarabangsa.

Menurut Kementerian Luar Syria, penyertaan itu disahkan menerusi penyerahan dokumen rasmi oleh Wakil Tetap Syria ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Olabi kepada Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mirjana Spoljaric Egger dalam satu pertemuan, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian itu memaklumkan langkah berkenaan mencerminkan komitmen Damsyik terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan melalui tindakan praktikal serta diplomasi aktif.

Menurut kenyataan itu, penyertaan Syria turut bertujuan menyokong usaha antarabangsa bagi memperkukuh penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan, melindungi orang awam, mengurangkan penderitaan manusia serta menegakkan prinsip kemanusiaan ketika konflik bersenjata.

Damsyik turut menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan secara bertanggungjawab, membina melalui kerjasama pelbagai hala serta penyelarasan lebih rapat dengan rakan antarabangsa, khususnya Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Kementerian berkenaan turut menyifatkan keputusan itu sebagai penghormatan terhadap penderitaan dan pengorbanan rakyat Syria akibat “pelanggaran serius dan sistematik” yang didakwa berlaku di bawah rejim terdahulu.

Isu hak asasi manusia sekian lama menjadi antara perkara paling dipersoalkan dalam hubungan antarabangsa Syria apabila badan PBB dan pertubuhan hak asasi sebelum ini berulang kali menuduh rejim terdahulu melakukan penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan sistematik serta kehilangan secara paksa.

Di bawah pemerintahan Bashar al-Assad selama hampir 25 tahun, Syria berdepan pelbagai tuduhan berkaitan pencabulan hak asasi dan serangan terhadap orang awam.

Assad dilaporkan melarikan diri ke Rusia pada Disember 2024, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang bermula sejak 1963.

Pentadbiran peralihan pimpinan Ahmad al-Sharaa yang dibentuk pada Januari 2025 kini giat memperluas hubungan antarabangsa serta memperkukuh kerjasama dengan institusi kemanusiaan dan antarabangsa. – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading