
KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara yang menjadi penanda aras dalam pengurusan haji dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, Tabung Haji telah berjaya meletakkan satu penanda aras yang tinggi dalam pengurusan haji, termasuk dari aspek disiplin, akhlak dan ketekunan jemaah serta petugas haji.
Menurut beliau, kecemerlangan tersebut tidak seharusnya bersifat bermusim, sebaliknya perlu dibudayakan agar menjadi amalan yang berterusan.
“Kita tidak mahu ia bersifat semusim, tetapi dibudayakan. Inilah yang sedang kita usahakan iaitu membudayakan kebaikan selain daripada kejayaan dalam aspek pengurusan penginapan, penerbangan, keselamatan dan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha berterusan kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam memperkasakan pengurusan ibadah haji Malaysia selepas program Analisis, Haji Malaysia: Model Terbaik Dunia Islam, semalam.
Tambah beliau, usaha tersebut kini diperluaskan dengan memberi penekanan kepada pembentukan pemikiran dan budaya perpaduan dalam kalangan jemaah agar mereka dapat menghayati makna sebenar ibadah haji selain membawa perubahan positif kepada setiap jemaah.
“Perjalanan haji itu diharapkan akan membawa satu perubahan kepada jemaah dan apabila pulang ke negara, mereka akan menjadi ejen perubahan dan ejen islah yang boleh mempengaruhi masyarakat,” katanya kepada media.
Kejayaan berterusan Malaysia dalam pengurusan haji bukan sahaja mencerminkan kecekapan sistem sedia ada, malah memperkukuh reputasi negara sebagai model rujukan utama dalam pengurusan jemaah haji di peringkat global.
Malaysia turut mengukuhkan reputasinya sebagai penanda aras pengurusan haji dunia apabila TH berjaya mengekalkan Anugerah Labaytum Diamond buat kali kedua pada musim haji 1447H/2026M.
Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia, sekali gus menyaksikan TH mengekalkan pencapaian berprestij tersebut bagi tahun kedua berturut-turut. — AlHijrah Online