Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LELAKI ROHINGYA DIDAKWA BUNUH RAKAN SENEGARA, TIKAM ISTERI MANGSA

DALAM NEGARA

LELAKI ROHINGYA DIDAKWA BUNUH RAKAN SENEGARA, TIKAM ISTERI MANGSA

Seorang lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dan mencederakan isteri mangsa dalam kejadian di Seberang Perai Selatan, bulan lalu.

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dan mencederakan isteri mangsa dalam kejadian di Seberang Perai Selatan, penghujung bulan lalu.

Tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan membunuh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, di Lorong Belibis 14, Taman Belibis, antara jam 2.45 petang hingga 2.50 petang pada 31 Mei lalu.

Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Dalam masa sama, Osman turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isteri mangsa, Formin Lal Mia, 26, menggunakan sebilah pisau di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin, manakala tertuduh diwakili peguam G. Sathiash.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 7 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat.

Sementara itu, prosiding terhadap dua wanita Rohingya yang turut ditahan berhubung kes sama ditangguhkan sehingga 23 Jun bagi membolehkan jurubahasa Myanmar dilantik kerana kedua-duanya tidak memahami bahasa Melayu.

Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan seorang lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan kes kematian mangsa yang dipercayai ditikam di beberapa bahagian badan, manakala isterinya turut mengalami kecederaan dalam kejadian pada petang 31 Mei lalu. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading