Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PEMBANGKANG IRELAND DESAK BOIKOT PERLAWANAN DENGAN ISRAEL

DUNIA

PEMBANGKANG IRELAND DESAK BOIKOT PERLAWANAN DENGAN ISRAEL

Perkara itu dibangkitkan menjelang perbahasan usul yang dikemukakan Sinn Fein lewat Selasa dan Parti Demokrat Sosial pada Rabu, ketika kempen membantah perlawanan antarabangsa Ireland menentang Israel semakin mendapat perhatian.

LONDON: Parti-parti pembangkang di Ireland menggesa kerajaan menyokong usul yang menyeru negara itu memboikot perlawanan bola sepak menentang Israel susulan bantahan awam yang semakin memuncak terhadap perlawanan berkenaan.

Jurucakap sukan Sinn Fein, Joanna Byrne, berkata kerajaan dan Persatuan Bolasepak Ireland (FAI) perlu mengambil pendirian tegas dengan enggan menyertai perlawanan tersebut.

Perkara itu dibangkitkan menjelang perbahasan usul yang dikemukakan Sinn Fein lewat Selasa dan Parti Demokrat Sosial pada Rabu, ketika kempen membantah perlawanan antarabangsa Ireland menentang Israel semakin mendapat perhatian.

Pada Isnin, FAI memaklumkan lembaga pengarahnya masih bermesyuarat bagi membincangkan aspek operasi penganjuran perlawanan Liga Negara-Negara melibatkan pasukan lelaki yang dijadual berlangsung di Stadium Aviva, Dublin pada 4 Oktober.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parti Demokrat Sosial, Sinead Gibney, berkata cadangan memindahkan perlawanan Ireland-Israel ke venue berkecuali hanya akan memberi tekanan kepada pemain.

“Dan itulah sesuatu yang kami mahu elakkan sejak hari pertama,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan menghalang atau mengecualikan Israel daripada sebarang pertandingan sukan antarabangsa serta menyifatkan sokongan orang ramai terhadap kempen “Hentikan Perlawanan” sebagai amat besar.

Gibney juga menganggap tindakan beberapa pegawai kerajaan yang menyatakan mereka tidak akan menghadiri perlawanan itu sebagai “amat hipokrit”.

Beberapa ahli parlimen lain termasuk Richard Boyd Barrett, Ruth Coppinger dan Paul Murphy turut menyuarakan pendirian sama dengan menegaskan pemindahan perlawanan ke venue berkecuali bukan penyelesaian.

“Mesej kami jelas, perlawanan itu perlu dibatalkan sepenuhnya dan tidak seharusnya berlangsung di venue berkecuali,” kata Barrett mengulas cadangan yang dilaporkan membabitkan pemindahan perlawanan dari Dublin ke Hungary.

Ahli Parlimen Parti Buruh, Duncan Smith, turut menyokong gesaan supaya perlawanan itu diboikot.

Pemimpin parti Aontu, Peadar Toibin, pula berkata beliau tidak berpendapat perlawanan berkenaan wajar diteruskan dan mengesahkan partinya akan menyokong usul yang dibawa pembangkang. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading