Connect with us

ALHIJRAH NEWS

OPS PEWA: JPJ MELAKA SITA 49 KENDERAAN DIPANDU WARGA ASING

DALAM NEGARA

OPS PEWA: JPJ MELAKA SITA 49 KENDERAAN DIPANDU WARGA ASING

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita 49 kenderaan yang dipandu warga asing atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) yang dijalankan di beberapa lokasi di negeri ini hari ini.

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita 49 kenderaan yang dipandu warga asing atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) yang dijalankan di beberapa lokasi di negeri ini hari ini.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, daripada jumlah itu, 44 adalah motosikal manakala lima lagi kereta. Operasi berkenaan turut mendapati pemandu yang dikenakan tindakan terdiri daripada 22 warga Rohingya, Pakistan (10), Bangladesh (sembilan), Indonesia (lima), Vietnam (dua) dan India (satu).

Beliau berkata, operasi yang berlangsung dari jam 6.30 hingga 11.30 pagi itu mengesan tiga kesalahan utama iaitu memandu tanpa lesen memandu yang sah, tiada cukai jalan dan kenderaan tidak dilindungi insurans.

“Kebanyakan kenderaan yang digunakan warga asing itu adalah milik warganegara tempatan dan kenderaan itu dipercayai digunakan bagi tujuan perniagaan atau pekerjaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan warga asing itu mengenali pemilik kenderaan dan kebanyakannya mengaku pemilik adalah majikan mereka tetapi kesahihannya masih belum diketahui,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, kenderaan yang disita itu adalah sebahagian daripada 147 kenderaan yang diperiksa dalam Ops Pewa di sekitar Klebang, Kampung Limbongan, Merlimau, Jasin dan Melaka Sentral.

Sebanyak 98 notis atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Siti Zarina berkata, pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan mereka dan tindakan membenarkan warga asing memandu atau menunggang tanpa lesen yang sah merupakan satu kesalahan serta akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, JPJ Melaka telah memeriksa 2,322 kenderaan dengan 177 daripadanya disita, termasuk 152 kenderaan yang dipandu warga asing.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 774 kenderaan telah diambil tindakan dan 951 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan di bawah Akta 333. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading