
GERIK: Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar bersama beberapa kakitangannya dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan di Gerik, Perak.
Kejadian itu dimaklumkan menerusi satu perkongsian di laman media sosial rasminya yang turut memaparkan keadaan kenderaan dinaiki pendakwah berkenaan remuk di bahagian hadapan.
“Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terlibat.
“Semoga Allah SWT melindungi mereka, mengurniakan pertolongan serta mempermudah segala urusan,” menurut perkongsian itu.
Sementara itu, menerusi kenyataan rasmi terbaharu, Media UWA mengesahkan Ustaz Wadi Annuar kini berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Pihaknya turut memohon orang ramai memberi ruang kepada pendakwah berkenaan untuk berehat dan memaklumkan beliau belum menerima sebarang kunjungan ziarah buat sementara waktu.
“Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua. Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan serta mempermudah segala urusan beliau dan semua yang terlibat,” menurut kenyataan itu. — AlHijrah Online