
GERIK: Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan mengalami kesakitan di bahagian dada selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Raya Timur Barat, Gerik, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, keadaan Ustaz Wadi dilaporkan stabil, namun beliau masih dirawat di hospital bagi menjalani pemeriksaan doktor.
“Ada sakit dada sedikit dan beliau akan menjalani pemeriksaan doktor serta masih dirawat di hospital,” katanya.
Kemalangan pada jam 2.40 pagi itu membabitkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Vellfire dan Perodua Bezza, mengakibatkan lima orang cedera manakala lima lagi tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba pada jam 3.42 pagi, kira-kira 59 kilometer dari balai, dan mendapati Perodua Myvi terbabas ke dalam longkang,” katanya.
Menurut beliau, seorang lelaki berusia 25 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan Myvi, manakala pemandunya yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah.
“Seorang lagi penumpang lelaki berusia 24 tahun yang duduk di bahagian belakang turut mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Sabarodzi berkata, empat penumpang Toyota Vellfire, terdiri daripada dua mangsa cedera dan dua tidak cedera, telah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
Katanya, pemandu Myvi dan dua penumpang Vellfire yang cedera turut dibawa ke Hospital Gerik menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba.
Beliau berkata, tiga penumpang Perodua Bezza tidak mengalami kecederaan, namun kenderaan itu tiada di lokasi kejadian kerana pemiliknya telah ke balai polis untuk membuat laporan.
Operasi menyelamat melibatkan 10 anggota dan tiga kenderaan itu dikawal pada jam 4.10 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.39 pagi. — AlHijrah Online