
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia atas faktor keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mungkin diambil selepas kerajaan meneliti alternatif bagi menggantikan Waze termasuk keupayaan tempatan membangunkan aplikasi seumpamanya yang mampu berfungsi dengan baik.
“Isu Waze ini isu berat bagi kita kerana pertamanya, ibu pejabatnya itu di Israel. Kedua, dalam perjanjian penggunaan aplikasi itu, jika ada masalah, itu undang-undang Israel yang tentukan. Itu menyebabkan mengapa saya ambil tindakan agak spontan (larang penggunaan Waze).
“Hal ini tak boleh nak tangguh, satu hari pun tak boleh. Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu. Saya kata dah sah kalau gunakan Waze, maknanya secara automatik dia menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Jadi ini soal keselamatan rakyat dan negara, saya tidak boleh kompromi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, hari ini.
Susulan larangan penggunaan Waze khususnya dalam kalangan penjawat awam, Anwar menyarankan orang ramai beralih kepada penggunaan aplikasi tempatan.
“Walaupun tidak canggih, tak apalah kita baiki. Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara, dan negara kepada Israel. Itu yang penting untuk difahami.
“Apa lagi kita ini di antara negara yang keras menentang rejim Zionis Israel yang kejam itu. Jadi, tentunya tindakan kita itu dipantau. Saya percaya lepas ini, semua pengaruh mereka akan digunakan untuk menghentam kita,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan isu berkaitan Waze dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. — AlHijrah Online