
KUALA LUMPUR: Hampir 7.7 juta rekod pengguna Waze termasuk butiran peribadi, sejarah perjalanan dan lokasi GPS masa nyata didakwa dijual di sebuah platform dark web.
Menurut firma keselamatan siber ClearPhish, seorang “pelaku ancaman” mendakwa menjual pangkalan data yang mengandungi maklumat sulit pengguna aplikasi navigasi milik Google itu.
Antara rekod yang didakwa bocor ialah nama pengguna, nombor pengenalan unik pengguna (ID), sejarah perjalanan serta koordinat lokasi GPS masa nyata.
“Kebocoran itu amat membimbangkan kerana boleh membolehkan penyerang menjejaki pengguna secara masa nyata, sekali gus mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan seperti pengintai maya, serangan tertentu atau kecurian identiti,” menurut laporan ClearPhish yang dikeluarkan pada Februari 2025.
Menurut laporan itu, keselamatan data perkhidmatan navigasi berkenaan pernah dipersoalkan apabila penyelidik keselamatan siber, Peter Gasper mendedahkan kelemahan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) yang boleh dieksploitasi untuk menjejaki pergerakan pengguna secara masa nyata.
“Walaupun Google dilaporkan telah membaiki beberapa kelemahan itu, dakwaan terbaharu menunjukkan bahawa Waze mungkin masih mempunyai banyak kelemahan dari segi keselamatan,” menurut laporan itu.
Keupayaan mengakses data GPS masa nyata dan pengecam unik mencetuskan kebimbangan kerana ia boleh membolehkan penjenayah siber menjejaki pergerakan pengguna, memantau corak perjalanan atau menyamar sebagai individu bagi tujuan berniat jahat.
ClearPhish turut memberi amaran bahawa kebocoran berkenaan boleh menimbulkan risiko serius terhadap privasi pengguna di seluruh dunia termasuk membuka ruang kepada pengintai maya, kecurian identiti, pancingan data serta manipulasi perkhidmatan navigasi yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Memandangkan Waze bergantung pada data yang dikumpulkan daripada pengguna, ketirisan itu turut menimbulkan persoalan sama ada kandungan lain yang dijana pengguna, seperti pilihan laluan dan laporan yang dikongsi turut terjejas,” tambahnya.
Bagaimanapun, Google masih belum mengesahkan secara rasmi dakwaan ketirisan itu.
Pakar keselamatan siber menasihatkan pengguna Waze supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengemas kini kata laluan akaun, menyahaktifkan penjejakan lokasi ketika aplikasi tidak digunakan dan berwaspada terhadap percubaan pancingan data atau aktiviti log masuk mencurigakan.
Pengguna turut disaran mempertimbangkan penggunaan rangkaian persendirian maya (VPN) bagi memperkukuh perlindungan data serta mengehadkan kebenaran perkongsian data pada aplikasi.
“Buat masa ini, pengguna Waze perlu sentiasa berwaspada, mengehadkan kebenaran perkongsian data aplikasi itu dan mengikuti perkembangan kenyataan rasmi berhubung ketirisan berkenaan,” ulasnya lebih lanjut.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Sebagai alternatif, Perdana Menteri menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi navigasi tempatan, TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). — AlHijrah Online