Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MAHASISWI MAUT TERCAMPAK KELUAR KERETA DALAM NAHAS TIGA KENDERAAN

DALAM NEGARA

MAHASISWI MAUT TERCAMPAK KELUAR KERETA DALAM NAHAS TIGA KENDERAAN

Seorang pelajar wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 19.4, Lingkaran Tengah Utama (LTU) arah Raub pada 7.23 malam, semalam.

KUANTAN: Seorang pelajar wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 19.4, Lingkaran Tengah Utama (LTU) arah Raub pada 7.23 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kemalangan yang berlaku ketika hujan itu melibatkan Toyota Yaris, Toyota Alphard dan Ford Ranger.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Toyota Yaris yang membawa mangsa, Puteri Nursyakirah Suzaimi, 19, dan dipandu seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun, dipercayai hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Raub sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu, Puteri Nursyakirah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala, manakala pemandu hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata kedua-dua mangsa ialah pelajar sebuah pusat pengajian tinggi.

Beliau berkata Toyota Alphard dan Ford Ranger datang dari arah sama dipercayai hilang kawalan, menyebabkan Toyota Alphard menggelongsor lalu menghempap Toyota Yaris, manakala Ford Ranger terbabas ke dalam longkang konkrit kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

“Pemandu serta tiga penumpang Toyota Alphard termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Bagi kenderaan Ford Ranger pula, pemandu dan empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia antara tiga hingga 23 tahun turut mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk pemeriksaan teknikal kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) serta pengambilan sampel darah dan air kencing pemandu terlibat.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading