
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dikendalikan warga asing di negara ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan perlu dilaksanakan segera dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya, terdapat warga asing yang menyalahgunakan lesen dan permit milik rakyat tempatan untuk menjalankan perniagaan.
Selain itu, ada yang mendaftarkan perniagaan secara sah namun mendapatkan bekalan barangan dan tenaga kerja dari negara asal sehingga menjejaskan peluang serta kepentingan penduduk tempatan.
Anwar berkata BNM dan MCMC perlu meneliti platform e-dagang serta aliran kewangan yang berkemungkinan melibatkan unsur pengubahan wang haram, manakala KPDN dan PBT pula perlu menyemak aspek pematuhan perniagaan yang terlibat.
“LHDN dan Kastam memastikan cukai dibayar sepenuhnya (manakala) Imigresen penguatkuasaan daripada penyalahgunaan pas. Jadi ini kerjasama semua badan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau turut mahu kerjasama antara kerajaan, dewan perniagaan serta persatuan penjaja dan peniaga diperkukuhkan bagi menangani isu kebanjiran perniagaan haram yang diusahakan warga asing.
“Saya tekankan ini kerana ada timbul keresahan agak meluas di seluruh negara dan saya harap tindakan berkesan itu bukan hanya penguatkuasaan satu jalur, hal-hal yang sebegini menuntut kita buat tindakan bersepadu oleh semua agensi terlibat,” katanya. — AlHijrah Online