
SUNGAI PETANI: Mahkamah Majistret Sungai Petani menolak permohonan reman terhadap pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kampung Baru Pinang Tunggal, semalam.
Majistret Mohamad Azlan Basri membuat keputusan itu selepas pihak polis mengemukakan permohonan reman ke atas pemandu lori berusia 49 tahun itu bagi melengkapkan siasatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang semalam, enam sekeluarga terkorban melibatkan Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29 yang juga seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Balai Polis Nibong Tebal.
Turut maut dalam tragedi itu ialah isterinya, Jamaliah Sannusi, 29 serta bayi mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan. Manakala seorang lagi anak pasangan itu, Aulia Sofea, 3, dilaporkan mengalami cedera parah pada bahagian muka.
Tiga lagi mangsa yang disahkan maut ialah adik kepada Ahmad Syafiq iaitu Ahmad Fahim, 21, yang juga pemilik Proton X50 berkenaan. Turut terkorban ialah ibu mereka, Nora Mohd Husin, 55, serta anak saudara kepada Ahmad Syafiq, Iskandar Affan Ibrahim yang baru berusia 7 tahun.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, polis akan melakukan siasatan dari semua aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berkenaan. Langkah itu diambil berikutan hasil siasatan awal mendapati, lori yang membawa muatan tanah itu hanya dipandu pada kelajuan 60 kilometer per jam (km/j).
Jelas Adzli, siasatan turut merangkumi pemeriksaan secara menyeluruh di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang terlibat dalam kejadian itu. Tindakan ini perlu dilakukan memandangkan kenderaan tersebut dilaporkan baru sahaja diambil dari pusat jualan kenderaan pada hari kejadian. – Alhijrah Online