Connect with us

ALHIJRAH NEWS

ANGGOTA POLIS MAUT TERCAMPAK, TAYAR VAN PECAH SEBELUM TERBABAS

DALAM NEGARA

ANGGOTA POLIS MAUT TERCAMPAK, TAYAR VAN PECAH SEBELUM TERBABAS

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas tayar belakang kiri van berkenaan pecah secara tiba-tiba.

TAPAH: Seorang anggota polis maut selepas tercampak keluar daripada sebuah van polis yang dinaikinya terbabas sebelum merempuh penghadang besi di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian melibatkan sebuah van jenis Maxus yang membawa 11 anggota polis termasuk pemandu sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke Melaka, sekitar jam 11:35 pagi tadi.

Katanya siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas tayar belakang kiri van berkenaan pecah secara tiba-tiba.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan terbabit melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.

“Akibat kemalangan itu, beberapa penumpang tercampak keluar daripada kenderaan. Seorang penumpang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat lagi mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata, enam lagi mangsa terlibat mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tapah bagi menerima rawatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222 selain memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top