
SEREMBAN: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang warga emas lelaki berusia 63 tahun di sebuah rumah flat di Rasah Jaya, di sini, pada 3 November lalu.
Tertuduh, B. Balamurali, 32, dan isterinya, S. Sangitha, 34, menggangguk faham namun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh dan menyebabkan kematian terhadap K. Balakrishnan, 63, kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah flat di Rasah Jaya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusspa selain mahkamah menetapkan 19 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan tiga individu termasuk dua wanita berusia antara 28 hingga 34 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa ditahan pada 5 November lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Tular satu rakaman video di media sosial TikTok yang memaparkan seorang lelaki dipercayai memukul belakang badan mangsa menggunakan getah paip ketika warga emas itu berada di atas kerusi roda atas sebab enggan menjamah makanan yang disuapkan kepadanya.
Difahamkan, kejadian berlaku di Rasah Jaya dan proses pengebumian mangsa ditangguhkan pada 4 November lalu bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.—AlHijrah Online