
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka dasar lebih tegas bagi memperkemas penguatkuasaan dan penyelarasan operasi rumah penyembelihan ayam komersial, termasuk cadangan mewajibkan semua premis berlesen mempunyai sekurang-kurangnya seorang penyembelih halal bertauliah.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata cadangan itu antara usaha memastikan pematuhan standard penyembelihan halal serta menjamin bekalan makanan berkualiti di negeri itu.
Beliau berkata berdasarkan data diperoleh pihaknya, sebanyak 60 premis penyembelihan di Selangor mempunyai lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala 149 premis lagi tidak mempunyai lesen PBT tetapi mempunyai penyembelih halal bertauliah.
“Setakat ini pengurusan itu sedikit terpisah sebab isu lesen tertakluk di bawah PBT manakala yang mengawal isu-isu penyembelihan halal ini di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya pada sidang media di lobi Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Mohammad Fahmi berkata semakan dilakukan PBT di seluruh Selangor setakat ini hanya menemukan lima pusat penyembelihan yang tidak mempunyai lesen operasi dan penyembelih halal bertauliah di Subang Jaya dan Kuala Langat dengan tindakan sitaan telah diambil terhadap premis terbabit.
Beliau berkata tindakan sitaan segera berkenaan adalah penting bagi memastikan bekalan ayam bagi penduduk Selangor adalah bersih dengan status halalnya terjamin.
Mohammad Fahmi berkata secara purata, keperluan ayam di Selangor adalah sebanyak 500,000 ekor sehari.
“Ayam ternakan hidup yang dihasilkan di Selangor hanya 57 peratus, jadi banyak ayam-ayam ini didapatkan dari negeri lain untuk dibawa dan disembelih di Selangor, saya tahu rakyat di luar semua resah dan perlu ada tindakan penguatkuasaan dan kita setuju,” katanya.
Mohammad Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor mengarahkan PBT di negeri itu segera melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha rumah sembelihan ayam tidak berlesen. –BERNAMA