
PUTRAJAYA: Premis yang menjalankan aktiviti penyembelihan ayam sehingga menimbulkan keraguan sebagaimana tular baru-baru ini didapati tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, penemuan awal mendapati premis itu didaftarkan atas nama entiti lain dan bukan milik Bhuiyen Sdn. Bhd, namun bekalan ayam bagi aktiviti tersebut diperoleh daripada Bhuiyen Sdn. Bhd.
“Ia hasil risikan awal dan pemeriksaan di lokasi oleh Jabatan ini bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)”. Katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Dr. Sirajuddin, premis berkenaan telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober 2026 susulan pelanggaran aspek kesihatan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2026.
“JAKIM turut mengemukakan permohonan kepada DBKL bagi mendapatkan pengesahan berhubung status lesen premis dan entiti yang menjalankan aktiviti pemprosesan ayam tersebut bagi melengkapkan penelitian serta tindakan susulan oleh pihak berkuasa berkaitan. Katanya.
JAKIM memandang serius sebarang aktiviti penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak dan sebarang pelanggaran akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan.—Alhijrah Online.