
KUALA LUMPUR: Data yang dikongsi melalui aplikasi navigasi seperi Waze berisiko mengancam keselamatan negara, khususnya apabila melibatkan pergerakan pegawai kanan kerajaan dan individu yang mengendalikan maklumat sensitif.
Ketua Pegawai Eksekutif LGMS Berhad, yang juga antara firma penilaian keselamatan siber terbesar di Asia, Fong Choong Fook berkata, data pergerakan yang dikumpulkan secara berterusan boleh memberi gambaran tentang rutin seseorang termasuk lokasi yang kerap dikunjungi dan individu yang berkemungkinan ditemui.
Ia sekaligus menimbulkan persoalan tentang aspek keselamatan dan kerahsiaan maklumat.
“Contohnya, kalau kita tahu beberapa pegawai penting kerap berada di lokasi yang sama pada waktu tertentu, kita mungkin boleh membuat andaian bahawa ada sesuatu aktiviti atau mesyuarat penting sedang berlaku. Risikonya bukan hanya tentang data kena dicuri, tetapi apa yang orang lain boleh ketahui tentang kita melalui data tersebut”. Katanya kepada Berita Alhijrah.
Lebih membimbangkan, perkembangan teknologi kecerdasan buatan atau AI berupaya memudahkan analisis terhadap data lokasi dalam jumlah yang besar.
Pandangan sama turut disuarakan Naib Pengerusi Pertubuhan Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (MCCO), Ts. Khairul Nadzmi.
Beliau berkata, pendedahan data itu sebahagian daripada kebocoran maklumat peribadi dan larangan terbaru tersebut mempunyai asas teknikal walaupun belum ada bukti awam yang mengesahkan Waze digunakan untuk aktiviti pengintipan di Malaysia.
“Risiko ini bukanlah sekadar teori. Pada tahun 2018 , aplikasi Strava pernah mendedahkan lokasi pergerakan tentera melalui data pergerakan kemudahan. Justeru, larangan ini mempunyai asas teknikal sebagai langkah pencegahan”. Katanya kepada Berita Alhijrah.
Isu sebenar jelas Ts. Khairul adalah bukan sekadar melarang waze, tetapi keutamaan dalam memastikan data lokasi penjawat awam tidak dieksploitasi hingga menjejaskan keselamatan dan kedaulatan strategik negara.
Sementara itu Fong Choong Fook berkata, penyelesaian isu ini bukan sekadar menghentikan penggunaan satu aplikasi dan berpindah kepada aplikasi lain, sebaliknya, setiap aplikasi navigasi perlu dinilai dari segi pengurusan data, lokasi penyimpanan maklumat, pihak yang mempunyai akses serta kebenaran perkongsian data dengan pihak ketiga.
Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan aplikasi berkenaan dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu.
Jelas beliau, maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat perlu dilindungi daripada diperalat oleh rejim Israel sehingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.—Alhijrah Online