Connect with us

ALHIJRAH NEWS

UNIT ANJING K9 ‘JAGA’ KLIA BERMULA ISNIN

DALAM NEGARA

UNIT ANJING K9 ‘JAGA’ KLIA BERMULA ISNIN

Penugasan itu merangkumi kawasan tumpuan penumpang seperti balai pelepasan, balai ketibaan dan kawasan pemeriksaan kastam bagi membolehkan pengesanan awal barangan terlarang serta potensi ancaman keselamatan.

PUTRAJAYA: Unit anjing pengesan (K9) bakal ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula Isnin bagi mengawal kes penyeludupan dadah rentas negara yang dikesan dari lapangan terbang itu.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd Datuk Mohd Izani Ghani berkata penugasan itu merangkumi kawasan tumpuan penumpang seperti balai pelepasan, balai ketibaan dan kawasan pemeriksaan kastam bagi membolehkan pengesanan awal barangan terlarang serta potensi ancaman keselamatan.

Beliau berkata penugasan K9 juga diperluas ke kawasan pengendalian dan pengasingan bagasi bagi memperketat pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuk sebelum dimuatkan ke dalam pesawat

“Pendekatan keselamatan berlapis ini bermatlamat memperkukuh kawalan di kawasan tumpuan penumpang dan operasi dalaman lapangan terbang, sekali gus melengkapi langkah keselamatan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, fasa percubaan akan dilaksanakan bagi menilai keberkesanan lokasi penugasan ditetapkan .

“Kami akan terus memberikan sokongan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta unit K9 bagi memastikan KLIA kekal sebagai lapangan terbang yang selamat, selesa dan bersih untuk semua,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah KLIA ACP M. Ravi berkata polis telah meningkatkan rondaan unit K9 dijalankan secara berkala bagi memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang itu susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan tentang prosedur pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa utama negara, berikutan penahanan beberapa rakyat Malaysia di luar negara kerana membawa bahan narkotik terlarang.

Pada 10 Oktober, lima rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo menahan lima rakyat Malaysia bersama kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen atau RM3.1 juta yang disembunyikan dalam pelapik kasut yang telah dilubangkan.

Penyeludupan dadah juga turut melibatkan seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial warga Malaysia berusia 39 tahun yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Julai lepas.

Keperluan untuk memperketat langkah keselamatan di lapangan terbang semakin mendesak selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan, semalam mendedahkan sindiket dadah antarabangsa sedang mengubah taktik bagi mengelak dikesan di lapangan terbang.

Antara modus operandi digunakan ialah membuat tempahan penerbangan pada saat akhir bagi keldai dadah atau sengaja memilih penerbangan pada waktu puncak di KLIA untuk mengambil kesempatan daripada kesesakan penumpang.—Alhijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading