
Gambar ARKIB. Sumber: BERNAMA
PUTRAJAYA: Penggunaan istilah agama dalam wacana politik perlu berasaskan ilmu, ketepatan konteks dan adab bagi mengelakkan penyalahgunaan istilah untuk melabel atau merendahkan individu atas perbezaan pendirian politik.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin berkata, perbahasan mengenai penggunaan istilah “munafik” di Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan pentingnya ketelitian dalam menggunakan istilah agama, khususnya apabila melibatkan penilaian terhadap individu.
“Terdapat perbezaan antara menjelaskan sesuatu sifat sebagai pengajaran umum dengan melabel seseorang berdasarkan pertikaian politik. YADIM berpandangan bahawa kritikan terhadap dasar, keputusan dan tindakan kerajaan merupakan sebahagian daripada pertanggungjawaban awam.
“Bagaimanapun, kritikan hendaklah disokong bukti yang boleh dinilai, mengambil kira konteks serta memberi ruang kepada penjelasan pihak yang dipersoalkan. Penggunaan dalil agama juga perlu menepati maksud dan konteksnya agar tidak membawa kepada kesimpulan yang tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ulas Zamri, prinsip amanah, kejujuran dan integriti perlu diterapkan secara konsisten kepada semua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang selain setiap pihak perlu bersedia menilai tindakan sendiri dan menerima teguran yang berasas.
Ini kerana kelemahan pihak yang menegur tidak secara automatik membatalkan teguran yang benar, manakala dakwaan terhadap pihak yang ditegur juga perlu dinilai berdasarkan bukti, ujarnya.
Beliau berkata penggunaan istilah agama secara tidak cermat boleh mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, termasuk keberkesanan dasar, pengurusan kewangan dan kebajikan rakyat.
“Penyebaran petikan tanpa konteks melalui media sosial turut berisiko mencetuskan salah faham serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap penyampaian agama.
“Sehubungan itu, wakil rakyat, pengamal media dan pengendali kandungan bertanggungjawab memastikan istilah agama digunakan dengan tepat serta maklumat disampaikan secara adil. Sebarang kesilapan dalam penggunaan istilah atau penyampaian hujah juga perlu diperbetulkan secara terbuka dan bertanggungjawab,” tambahnya.
YADIM turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik perlu ditangani melalui hujah, fakta dan teguran beradab, bukannya pelabelan yang boleh menjejaskan hubungan masyarakat.
Pendekatan itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan nilai hormat, keyakinan dan ihsan, serta semangat MADANI Membantu dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat dan memelihara keharmonian masyarakat, katanya.—AlHijrah Online