
PUTRAJAYA: Malaysia bakal kembali menjadi tuan rumah Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) Kali Ke-27 selepas 19 tahun, dengan penganjuran dijadual berlangsung dari 30 November hingga 3 Disember depan di Putrajaya.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa itu adalah pada 2007.
Penganjuran kali ini bakal menghimpunkan ulama dan ilmuwan dunia Islam bagi membincangkan penyelesaian berasaskan syariah terhadap pelbagai cabaran kontemporari.
Sebanyak tujuh teras utama akan menjadi fokus perbahasan meliputi kecerdasan buatan (AI), perubatan moden, kewangan Islam, institusi kekeluargaan, fiqh kehidupan bersama, akhlak dan perbuatan Nabi Muhammad SAW serta istihsan.
Persidangan berkenaan turut dijadual meneliti 139 kertas penyelidikan sebelum menghasilkan Resolusi Putrajaya pada hari terakhir penganjuran.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, resolusi yang dihasilkan akan melalui proses penelitian di peringkat kebangsaan sebelum dijadikan panduan dalam penentuan hukum.
“Kalau di Malaysia, kita akan bawa resolusi ini ke muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Dan akan kita bentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan maklum kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Khas Media Ketua Pengarah JAKIM bersempena persidangan berkenaan di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.
Menurut Sirajuddin, resolusi tersebut turut mempunyai kepentingan kepada negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam merumuskan pandangan hukum masing-masing.
“Bagi negara-negara lain, semua wakil ini akan bawa balik resolusi ini ke negara mereka dan ia juga akan dibentang dalam muzakarah ulama di peringkat negara-negara itu sendiri.
“Ini juga akan menjadi pegangan kepada negara-negara OIC yang lain sebagai panduan. Mungkin fatwa dia akan ada sedikit perubahan namun asasnya tetap berdasarkan kepada IIFA,” tambahnya.
Persidangan itu dijadual mencapai kemuncaknya pada 3 Disember menerusi pembentangan Resolusi Putrajaya yang merumuskan hasil perbahasan ulama antarabangsa terhadap isu-isu fiqh kontemporari. — AlHijrah Online