
Gambar Hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas maut selepas dilanggar sebuah bas ketika melintas di Jalan Masjid Abidin berhampiran laluan masuk Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa Mat Ghani Mamat, 77 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Beliau berkata pihak polis menerima laporan daripada orang ramai yang memaklumkan kemalangan melibatkan pejalan kaki itu dengan sebuah bas pada 12.28 tengah hari.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12 tengah hari apabila pemandu bas yang datang dari Besut sedang bergerak membelok masuk ke laluan terminal bas telah terlanggar mangsa yang tiba-tiba keluar dari kiri ke kanan jalan.
“Jarak yang sangat dekat menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak dan melanggar pejalan kaki berkenaan. Mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.
Azli berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — AlHijrah Online.