Connect with us

ALHIJRAH NEWS

124 KANAK-KANAK TERKAIT GISBH KEMBALI BERSEKOLAH

DALAM NEGARA

124 KANAK-KANAK TERKAIT GISBH KEMBALI BERSEKOLAH

Seramai 124 kanak-kanak terkait GISBH telah didaftarkan semula ke sekolah sebagai sebahagian proses pemulihan, manakala 10 pusat jagaan yang dikaitkan dengan kumpulan itu telah ditutup dan tidak lagi beroperasi.

SHAH ALAM: Seramai 124 kanak-kanak terkait dengan GISB Holdings (GISBH) telah didaftarkan untuk mengikuti persekolahan sebagai sebahagian usaha pemulihan dan integrasi semula mereka ke dalam masyarakat.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, usaha pemulihan turut dilaksanakan menerusi Program Advokasi NURANI (Nilai Unggul, Rohani dan Akhlak Nadi Insan) yang melibatkan 65 peserta.

“Dari sudut kebajikan pula, sebanyak 64 keluarga kanak-kanak yang memenuhi syarat kelayakan turut diberikan bantuan kebajikan yang bersesuaian, termasuk Bantuan Am, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Anak Pelihara dan bantuan berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) mengenai status pemulihan anak-anak GISBH dari aspek kebajikan serta integrasi semula dengan masyarakat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Langkah yang dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor memberi penekanan kepada pembangunan diri, pembentukan akhlak dan sahsiah serta kesedaran mengenai hak dan perlindungan kanak-kanak.

“Bagi memastikan kebajikan kanak-kanak ini terus terpelihara, JKM Selangor melaksanakan pemantauan dan penyeliaan secara berterusan melalui lawatan fizikal serta pemantauan dalam talian oleh Pegawai Pelindung Kanak-Kanak,” tambah beliau.

Dalam pada itu, JKM Selangor turut mengambil tindakan terhadap 10 premis yang dikenal pasti beroperasi sebagai pusat jagaan hasil pemeriksaan ke atas 29 premis rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH di sekitar Selangor.

Daripada jumlah itu, tiga pusat jagaan berdaftar dikenakan Perintah Penutupan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pusat Jagaan 1993 manakala tujuh pusat jagaan tidak berdaftar dikenakan tindakan lak atau sita di bawah Seksyen 16A akta sama.

“Sehingga kini, kesemua 10 pusat jagaan yang dikenakan tindakan penguatkuasaan tersebut telah ditutup dan tidak lagi beroperasi,” ujarnya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top