Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

329 JEMAAH HAJI MALAYSIA MENJADI KUMPULAN PERTAMA SELAMAT TIBA DI MALAYSIA

DALAM NEGARA

329 JEMAAH HAJI MALAYSIA MENJADI KUMPULAN PERTAMA SELAMAT TIBA DI MALAYSIA

Ketibaan kumpulan pertama ini menandakan bermulanya fasa kedua operasi haji 1447H/2026M yang memberi tumpuan kepada pengurusan kepulangan jemaah haji Malaysia ke tanah air secara berperingkat sehingga penerbangan terakhir.

SEPANG: Kumpulan pertama seramai 329 jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/ 2026M selamat tiba  Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.

Ketibaan para jemaah kira-kira jam 1:30 pagi itu disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan bersama barisan pengurusan kanan Lembaga Tabung (TH), serta ahli keluarga di KLIA.

Menurut Zulkifli, operasi haji tahun ini memperlihatkan pengurusan yang cekap dan menyeluruh merangkumi aspek penerbangan, pengangkutan, penginapan, sajian, kesihatan dan keselamatan jemaah.

Katanya, pelbagai penambahbaikan turut dilaksanakan khususnya dalam operasi Masyair selain penggunaan teknologi yang terus diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan pemantauan jemaah di Tanah Suci.

“Alhamdulillah, operasi haji 1447H/2026M berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil perancangan rapi, kerjasama erat pelbagai pihak serta komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah haji sentiasa terpelihara. Kita berdoa agar semua jemaah haji Malaysia pulang dengan selamat serta dikurniakan haji yang mabrur,” katanya hari ini.

Zulkifli turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua petugas haji serta seluruh jemaah haji Malaysia yang mempamerkan akhlak serta disiplin yang baik sekaligus mencerminkan imej yang terbaik kepada jemaah haji seluruh dunia.

Sementara itu, Zulkifli turut memaklumkan bahawa kerajaan Arab Saudi telah memulakan perancangan musim haji 1448H/2027M seawal 29 Mei 2026.

“TH juga telah memulakan persediaan dan akan turut menyertai siri perbincangan dan sesi penyelarasan bersama Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebagai persediaan awal bagi musim haji akan datang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zulkifli mewakili kerajaan Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta Kedutaan Arab Saudi di Malaysia atas kerjasama dan sokongan yang diberikan.

Ketibaan kumpulan pertama ini menandakan bermulanya fasa kedua operasi haji 1447H/2026M yang memberi tumpuan kepada pengurusan kepulangan jemaah haji Malaysia ke tanah air secara berperingkat sehingga penerbangan terakhir.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading