
Kuala Lumpur: Dua kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 masing-masing direkodkan di Ranau, Sabah dan Mambong, Sarawak pada Selasa lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, gempa bumi pertama berlaku di Ranau pada jam 10.36 pagi dengan kedalaman 10 kilometer (km), berpusat pada latitud 6.07° Utara dan longitud 116.58° Timur.
Tambahnya, gegaran daripada gempa itu turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kundasang, Ranau dan Kota Belud, Sabah.
Pada hari sama, katanya, satu lagi gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 dengan kedalaman 10 km direkodkan di Mambong, Sarawak pada jam 10.33 malam.
“Gempa bumi tersebut berpusat pada latitud 1.32° Utara dan longitud 110.39° Timur.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Samarahan dan Serian, Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, MET Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Beliau turut menegaskan orang ramai tidak perlu bimbang kerana kedua-dua gempa yang berlaku adalah pada magnitud lemah.
“Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan serta menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. — AlHijrah oNLINE