Connect with us

ALHIJRAH NEWS

GIBRAN LETAK JAWATAN NAIB PRESIDEN INDONESIA

DUNIA

GIBRAN LETAK JAWATAN NAIB PRESIDEN INDONESIA

Gibran Rakabuming Raka secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Indonesia kepada MPR dan meminta proses pengundurannya disegerakan. MPR kini mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk memilih penggantinya.

JAKARTA: Gibran Rakabuming Raka pada Khamis secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Indonesia kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR).

Speaker MPR, Ahmad Muzani berkata, Gibran menyerahkan sendiri surat berkenaan dalam pertemuan kira-kira 20 minit di bangunan Nusantara III, kompleks Parlimen di Jakarta.

Menurutnya, Gibran turut memaklumkan bahawa surat sama telah diserahkan kepada Presiden Prabowo Subianto.

“Semasa pertemuan itu, Gibran menjelaskan bahawa tujuan beliau bertemu dengan pucuk pimpinan MPR adalah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Republik Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Gibran turut meminta MPR supaya memproses peletakan jawatannya dengan segera.

Susulan itu, pucuk pimpinan MPR dijadual bermesyuarat pada Khamis bagi membincangkan tindakan seterusnya sebelum mesyuarat bersama pemimpin fraksi MPR dan kumpulan Dewan Perwakilan Daerah (DPD) diadakan.

MPR yang dianggotai ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan DPD mempunyai kuasa berperlembagaan untuk memilih pengganti naib presiden sekiranya berlaku kekosongan jawatan.

Ahmad Muzani berkata, MPR mempunyai tempoh maksimum 60 hari dari tarikh peletakan jawatan Gibran untuk memilih naib presiden baharu.

Presiden Prabowo pula mempunyai tempoh 14 hari selepas MPR mengeluarkan permintaan rasmi untuk mengemukakan dua calon bagi mengisi jawatan berkenaan.

Penyerahan surat itu menyusuli pertemuan Gibran dengan Prabowo di Istana Presiden pada Selasa apabila beliau menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan perkembangan undang-undang berkaitan dokumen pendidikannya.

Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, pertemuan berkenaan berlangsung kira-kira dua jam setengah dan Prabowo tidak menolak hasrat Gibran untuk berundur.

Sebelum bertemu pucuk pimpinan MPR pada Khamis, Gibran sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Prabowo di Istana Presiden pada sebelah pagi.

Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 6 Oktober lalu memutuskan petisyen yang mencabar kelayakan Gibran untuk memegang jawatan itu tidak boleh diterima.

Mahkamah Agung kemudiannya mengisytiharkan sijil penyetaraan pendidikan sekolah menengah atas Gibran tidak sah pada 30 Oktober lalu. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top