Connect with us

ALHIJRAH NEWS

ENAM TERMASUK PAKAR BEDAH TERBUNUH DALAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS HOSPITAL DI GAZA

DUNIA

ENAM TERMASUK PAKAR BEDAH TERBUNUH DALAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS HOSPITAL DI GAZA

Tentera Israel mengesahkan serangan berkenaan dengan mendakwa pihaknya menyasarkan komander Briged Khan Younis Hamas, Muhammad Abu Ismail, serta beberapa anggota kumpulan itu yang didakwa bersembunyi di dalam kompleks hospital berkenaan.

GAZA: Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh, termasuk seorang pakar bedah, manakala 28 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, pada Khamis.

Serangan awal pagi itu menyasarkan bangunan yang menempatkan jabatan pembedahan hospital berkenaan sehingga menyebabkan kerosakan pada beberapa tingkat serta operasi empat jabatan terpaksa digantung.

Pakar pembedahan hospital itu, Dr Ayman Abu Ubaid, yang turut cedera dalam serangan berkenaan, berkata letupan menyebabkan asap tebal memenuhi ruang hospital dan kebakaran tercetus.

“Letupan itu menyebabkan asap tebal memenuhi ruang hospital dan kebakaran tercetus, diiringi rintihan mangsa yang cedera serta jeritan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, pesakit yang berada di jabatan berkenaan ketika kejadian merupakan individu yang sedang menunggu untuk menjalani pembedahan.

“Semua pesakit di jabatan itu merupakan pesakit yang sedang menunggu untuk menjalani pembedahan. Pengeboman berlaku ketika mereka sepatutnya sedang tidur,” katanya.

Antara yang terkorban ialah Dr Rizk Abu Shaira, 52 tahun, seorang pakar bedah am yang turut terbunuh bersama salah seorang pesakitnya.

Sementara itu, tentera Israel mengesahkan serangan berkenaan dengan mendakwa pihaknya menyasarkan komander Briged Khan Younis Hamas, Muhammad Abu Ismail, serta beberapa anggota kumpulan itu yang didakwa bersembunyi di dalam kompleks hospital berkenaan.

Bagaimanapun, Hamas menolak dakwaan tersebut dan mengecam serangan itu.

Hospital Nasser merupakan antara fasiliti kesihatan terakhir yang masih beroperasi di Gaza, dengan serangan terbaharu itu sekali lagi menjejaskan perkhidmatan perubatan kepada penduduk di wilayah berkenaan.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Gaza pada Khamis, termasuk enam mangsa dalam serangan ke atas Hospital Nasser. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top