Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BAHASA MELAYU, ISLAM DAN HAK ISTIMEWA MELAYU SERTA BUMIPUTERA KEKAL TERPELIHARA

DALAM NEGARA

BAHASA MELAYU, ISLAM DAN HAK ISTIMEWA MELAYU SERTA BUMIPUTERA KEKAL TERPELIHARA

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan supaya dasar negara diubah demi dominasi kaum dan kelangsungan politik, sebaliknya mahu mempertahankan Perlembagaan serta keadilan untuk semua rakyat.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan pihak tertentu yang mahu dasar negara diubah berasaskan dominasi kaum semata-mata demi kelangsungan politik.

Beliau berkata, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tidak perlu dipertikaikan.

Pada masa sama, Anwar memberi jaminan kerajaan akan terus memastikan keadilan, kesejahteraan dan kebahagiaan setiap warganegara tanpa mengira kaum atau agama.

“Sekarang ini kalau pergi mana-mana, orang kata: Anwar, kamu perlu menyesuaikan dasar dengan mengutamakan orang Melayu dan dominasi Melayu. Jika tidak, kamu tidak akan dapat bertahan (dalam politik). Saya jawab: Saya mahu terus bertahan sebagai pemimpin Malaysia yang mencintai negara ini.

“Saya mahu pertahankan prinsip-prinsip negara kita, Perlembagaan kita,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan di Little India, Brickfields, hari ini.

Anwar turut membidas pihak tertentu yang menjadikan isu kelangsungan kaum sebagai naratif perjuangan sedangkan pada hakikatnya didakwa lebih mengutamakan kepentingan serta kekayaan peribadi dan keluarga.

Beliau turut menempelak segelintir persatuan dan parti politik yang sengaja membangkitkan sentimen perkauman bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu penipuan dan rasuah.

“Lihat tokoh-tokoh yang bicara soal survival kaum. Mereka itu antara yang paling kaya dalam kalangan kita. Perjuangan itu perjuangan untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru rakyat terus mempertahankan nilai kemanusiaan, keadilan dan perpaduan sebagai asas kekuatan negara.

Menurutnya, semangat Deepavali yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan bukan sahaja relevan kepada masyarakat India, malah perlu dihayati seluruh rakyat tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang budaya.

“Di sini (di Malaysia) kita saling menghormati meskipun berbeza, agama lain, budaya lain, bahasa asal lain, keturunan lain, tetapi kita ada kemanusiaan. Kita saling hormat, menghargai antara satu sama lain.

“Begitulah Malaysia yang seharusnya, yang mesti terus kekal dan mencapai kejayaan sebagai sebuah negara,” katanya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top