
Sumber Gambar: BERNAMA
PUTRAJAYA: Islam tidak menjadi mulia dengan merendahkan agama lain, sebaliknya melalui keadilan, akhlak, ilmu, amanah dan contoh kepimpinan yang baik, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata kekuatan orang Melayu dan umat Islam tidak akan terhakis hanya kerana menghormati hak kaum dan agama lain.
“Saya memandang serius kenyataan bahawa sejahat-jahat orang Islam yang memerintah negara sekalipun tidak sezalim orang bukan Islam, seperti dilaporkan dalam ceramah politik di Melaka.
“Kenyataan sedemikian amat dikesali kerana ia membuat penilaian terhadap keadilan dan kezaliman berdasarkan agama seseorang, bukan berdasarkan akhlak, integriti, tindakan dan tanggungjawab seseorang pemimpin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil walaupun terhadap pihak tidak disukai seperti firman Allah SWT dalam ayat lapan Surah al-Maidah.
“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa,” katanya berkongsi terjemahan ayat itu.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata seseorang pemimpin tidak harus dinilai berdasarkan identiti agama semata-mata, sebaliknya berdasarkan amanah, keadilan dan keupayaannya melindungi rakyat.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengingatkan bahawa rasuah, penindasan dan pengkhianatan terhadap amanah tetap menjadi satu kesalahan tanpa mengira siapa pelakunya.
“Jangan kita menggunakan agama untuk memberikan perlindungan moral kepada pemimpin yang rasuah,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata umat Islam akan lebih dihormati apabila menjadi contoh terbaik dalam keadilan, kemajuan, kebijaksanaan dan sifat rahmah kepada seluruh manusia.
Beliau berkata pilihan raya sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat menilai rekod prestasi, integriti dan kemampuan calon serta parti politik, bukan medan membangkitkan ketakutan dan prasangka kaum dan agama.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ceramah politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menyifatkan orang bukan Islam sebagai zalim selain berkata perkiraan politik dalam Islam berlandaskan faktor dosa dan pahala.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menolak kenyataan Abdul Hadi serta menyifatkannya sebagai naratif politik lapuk yang boleh memecahbelahkan rakyat berbilang agama.
Naib Ketua AMK Malaysia Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kenyataan itu bukan sahaja menghina rakyat bukan Islam, malah mencemarkan imej Islam yang menuntut setiap pemimpin berlaku adil tanpa mengira agama.
“Ukuran seorang pemimpin ialah amanah, integriti dan keadilannya, bukan label yang dipakainya. Pemimpin Islam yang rasuah, menyalahgunakan kuasa dan menindas rakyat tetap zalim. Tiada istilah zalim yang lebih ringan dalam Islam,” katanya.
Beliau berkata anak muda di Melaka lebih memerlukan peluang pekerjaan, kos sara hidup terkawal, perumahan mampu milik dan jaminan masa depan berbanding politik yang menyemai prasangka serta perpecahan.
Beliau menyeru semua pihak yang bertanding supaya tidak menjadikan agama sebagai alat untuk mencetuskan permusuhan, sebaliknya mengajak rakyat Melaka keluar mengundi dan membuat pilihan berdasarkan rekod, amanah serta tawaran pembangunan. — AlHijrah Online.