Connect with us

ALHIJRAH NEWS

“BINCANG NIAGA FINALE 2026” BUKA PELUANG USAHAWAN IKLAN DI TV ALHIJRAH

DALAM NEGARA

“BINCANG NIAGA FINALE 2026” BUKA PELUANG USAHAWAN IKLAN DI TV ALHIJRAH

Bincang Niaga Finale 2026 merupakan peluang terakhir tahun ini bagi lebih ramai usahawan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk memperkenalkan jenama mereka kepada khalayak yang lebih luas.

KUALA LUMPUR: TV AlHijrah membuka peluang kepada usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemilik jenama tempatan untuk memperluas pasaran menerusi kempen promosi pengiklanan “Bincang Niaga Finale 2026” di platform penyiaran televisyen dan digital pada kadar promosi istimewa.

Kempen itu menyediakan pilihan pemasaran yang lebih kompetitif kepada komuniti perniagaan tempatan, khususnya usahawan yang ingin meningkatkan keterlihatan jenama tetapi berdepan kekangan peruntukan pengiklanan.

Pengurus Besar Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek, berkata, inisiatif TV AlHijrah ini diperkenalkan bagi membolehkan lebih ramai usahawan memanfaatkan kekuatan platform penyiaran nasional sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan perniagaan.

Katanya persepsi bahawa pengiklanan televisyen hanya sesuai untuk syarikat besar dengan peruntukan pemasaran tinggi perlu diubah, memandangkan perniagaan tempatan juga mempunyai potensi untuk diketengahkan kepada pasaran lebih luas.

“Pengiklanan televisyen sering dikaitkan dengan jenama besar dan peruntukan pemasaran yang tinggi. Sedangkan banyak perniagaan tempatan mempunyai produk yang berkualiti serta potensi untuk berkembang, tetapi masih memerlukan saluran yang sesuai untuk memperkenalkan jenama kepada pasaran lebih luas.

“Melalui Bincang Niaga Finale 2026, kami mahu membuka peluang kepada usahawan untuk meneroka pengiklanan televisyen menerusi pilihan pakej yang lebih bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan perniagaan masing-masing,” katanya.

Ujarnya, perkembangan teknologi dan perubahan corak penggunaan media turut membuka peluang kepada perniagaan untuk menggabungkan kekuatan pelbagai platform komunikasi dalam meningkatkan keberkesanan strategi pemasaran.

Televisyen dan platform digital mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam memperkenalkan produk, memperluas pendedahan jenama serta membina hubungan yang lebih berterusan dengan pengguna, tambahnya.

“Pengguna hari ini mendapatkan maklumat melalui pelbagai saluran. Justeru, pendekatan pemasaran juga perlu berkembang supaya sesuatu jenama mampu hadir pada platform yang relevan dengan kumpulan sasarannya.

“Gabungan televisyen dan digital TV AlHijrah menawarkan peluang kepada usahawan untuk memperkenalkan perniagaan melalui pendekatan komunikasi yang lebih menyeluruh. Apa yang penting ialah pemilihan strategi yang bersesuaian dengan objektif pemasaran, bukannya sekadar meningkatkan kekerapan sesuatu iklan disiarkan,” jelasnya.

Menerusi Bincang Niaga Finale 2026, usahawan berpeluang mendapatkan khidmat rundingan daripada pasukan Media Strategist TV AlHijrah bagi mengenal pasti pilihan pemasaran yang bersesuaian dengan skala operasi, kumpulan sasaran dan peruntukan perniagaan masing-masing.

Kempen itu turut mencerminkan pendekatan TV AlHijrah dalam memperluas peranannya sebagai organisasi penyiaran yang bukan sahaja menyalurkan kandungan kepada masyarakat, malah menyediakan penyelesaian komunikasi komersial kepada pelbagai sektor industri.

Saifulizan berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha TV AlHijrah untuk memperkukuh hubungan dengan komuniti perniagaan serta menjadikan platform media yang dimiliki organisasi lebih relevan kepada keperluan pasaran.

“Kami mahu TV AlHijrah dilihat bukan hanya sebagai saluran penyiaran, tetapi juga sebagai rakan komunikasi strategik yang mampu membantu usahawan PKS merancang pendedahan jenama secara lebih tersusun dan bersesuaian dengan hala tuju mereka,” katanya.

“Bincang Niaga Finale 2026 merupakan peluang terakhir tahun ini bagi lebih ramai usahawan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk memperkenalkan jenama mereka kepada khalayak yang lebih luas. Kami percaya setiap perniagaan mempunyai potensi untuk berkembang sekiranya diberikan akses dan peluang yang bersesuaian untuk mengetengahkan kelebihan masing-masing,” katanya.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top