
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mengubah pendirian dengan menarik balik surat terdahulu kepada Majlis Raja-Raja serta menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail difahamkan bertemu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad awal minggu ini bagi menyerahkan surat penarikan balik dokumen bertarikh 17 September lalu.
Berdasarkan surat bertarikh 10 November itu, Ismail bersama 10 bekas EXCO sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat terdahulu selepas mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu pada 14 Oktober serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Keputusan itu dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur,” menurut surat berkenaan.
Selain Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, surat itu turut ditandatangani 10 bekas EXCO kerajaan negeri yang sebelum ini ditamatkan perkhidmatan.
Kemelut diraja Negeri Sembilan bermula sejak April apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Empat individu sama kemudian didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu dalam satu majlis di sebuah hotel lima bintang di Melaka pada Jun.
Pada September lalu, Ismail menyokong kenyataan dikeluarkan 10 EXCO yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar. — AlHijrah Online