
Kuala Lumpur: Remaja perempuan yang hamil luar nikah akan terus diberi bantuan bagi memastikan mereka kembali menyambung persekolahan dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, golongan terbabit perlu diberikan peluang sewajarnya untuk meneruskan pendidikan agar tidak tercicir dan mampu membina masa depan yang lebih baik.
“Mereka harus kembali menyambung pendidikan mereka selepas habis pantang. Bab ini saya sangat tegas. Tidak boleh ambil jalan mudah dalam hidup kerana pendidikan ialah kunci untuk keluar daripada kitaran keganasan dan kembali menjadi insan.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) biasanya akan membantu anak-anak ini kembali ke sekolah dan memastikan mereka mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa keciciran pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Fadhlina, isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja perlu ditangani melalui pendekatan yang berteraskan sokongan, perlindungan dan pendidikan bagi menjamin kebajikan ibu serta anak.
Sebaik sahaja kehamilan dikenal pasti, remaja berkenaan perlu segera dibawa ke pusat kesihatan atau klinik desa berhampiran untuk membuka rekod kesihatan ibu mengandung atau buku pink.
“Fokus kepada kandungan dan kesihatan anak gadis ini terlebih dahulu. Lebih muda usia anak-anak ini, lebih kritikal kandungan dan kesihatan mereka. Semua sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan bersedia dan mempunyai kepakaran ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa ibu bapa membuat laporan polis serta mendapatkan khidmat kaunseling untuk anak mereka secepat mungkin supaya tindakan susulan dapat diambil berdasarkan situasi sebenar yang dihadapi remaja terbabit.
Fadhlina berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai seorang ibu muda yang mengaku bersalah menyebabkan kematian bayinya di Johor semalam.
Beliau yang pernah mengendalikan rumah perlindungan Bayt Al-Rahmah untuk gadis hamil luar nikah mengakui kisah tersebut amat menyentuh perasaan.
Mengulas cabaran yang dihadapi ibu bapa, termasuk perasaan malu dan amarah apabila berdepan situasi sedemikian, beliau berkata institusi seperti Bayt Al-Rahmah memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan yang selamat sehingga proses kelahiran.
“Kerajaan juga menyediakan sokongan perlindungan yang sama. Boleh rujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dapatkan perlindungan di bawah institusi kerajaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh selepas bersalin merupakan fasa kritikal yang boleh menyebabkan kemurungan atau meroyan sekiranya ibu muda tidak menerima penjagaan dan sokongan yang mencukupi.
Sspek penjagaan bayi, kesihatan ibu, penyusuan serta kaunseling berterusan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan tekanan emosi dalam kalangan ibu muda. — AlHijrah Online