ISTANBUL: Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Khamis memaklumkan bahawa dua kapal tangki minyak meletup di Selat Hormuz selepas “mengabaikan amaran berulang kali” supaya tidak menggunakan laluan yang “tidak dibenarkan”, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita ISNA Iran, Tentera Laut IRGC berkata kedua-dua kapal tangki itu terlibat dalam insiden pada lewat Rabu ketika “melalui bahagian selatan selat berkenaan walaupun telah diberikan amaran berulang kali oleh pusat kawalan trafiknya”.
Kenyataan itu menyifatkan kedua-dua kapal berkenaan sebagai kapal tangki besar yang membawa muatan keseluruhan “lebih empat juta tong minyak”, sambil memaklumkan bahawa kapal itu terhenti selepas berlaku “letupan besar”.
Tentera Laut IRGC menuduh kedua-dua kapal itu “bekerjasama dengan tentera Amerika Syarikat (AS)”, yang disifatkannya sebagai “tentera penyeludup”.
IRGC turut memberi amaran bahawa “mana-mana kapal di Teluk Parsi atau Selat Hormuz yang mematikan sistem pandu arah dan bekerjasama dengan tentera AS untuk melalui laluan selatan akan menerima nasib yang sama”.
Kenyataan itu tidak mendedahkan identiti kedua-dua kapal atau memberikan butiran lanjut mengenai insiden berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Iran dengan AS berhubung pelayaran melalui Selat Hormuz masih berterusan. Selat itu merupakan antara laluan strategik terpenting dunia bagi bekalan tenaga dan komoditi, selain menjadi isu utama dalam rundingan antara kedua-dua pihak.
Peperangan bermula dengan serangan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari sebelum gencatan senjata dicapai pada April.
Pertempuran antara Washington dengan Tehran kemudiannya kembali tercetus apabila rundingan tergendala, walaupun kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum persefahaman pada Jun. — AlHijrah Online.